Rabu, 24 Jun 2009

300 Hadis Bimbingan

Buku ini telah mengumpulkan 300 hadis sahih yang paling utama yang mencakupi bidang kehidupan harian dan disusun mengikut keutamaan tajuk seperti ilmu, beramal, berjemaah, hal ehwal rasullulah s.a.w., para sahabat, rukun Islam, Rukun iman, solat, al-Quran, puasa, kesihatan, zakat, haji, jihad, doa, zikir, persaudaraan, akhlak, sedekah, komunikasi, pengurusan, pesanan nabi dan sebagainya.

Hadis disampaikan melalui teks yang mudah dibaca dengan terjemahan yang jelas. Pembaca dapat membuat rujukan terus untuk kegunaan dalam menghafal hadis, ceramah, usrah, tarbiah, tazkirah dan taklim. Turut disertakan biodata 72 orang perawi hadis yang msyhur.

Cari Kerja Ada Caranya: Untuk Semua


Ketahuilah cara untuk:
  • Merangsang diri agar cepat-cepat mencari kerja dan betapa pentingnya untuk 'fleksibel', tiada sifat malu dan mempunya matlamat kerjaya untuk mencari kerja..
  • Bermula mencari kerja dengan kekemasan penampilan diri, penyiapan dokumen dan persiapan minda
  • Meningkatkan peluang mendapat kerja dengan kemahiran nilai tambah seperti keupayaan berkomunikasi, kerja berpasukan dan kemahiran keusahawanan.
  • Menyediakan resume yang meyakinkan
  • Berupaya dan berjaya menjalani temuduga kerja.
Buku ini, yang ditulis dengan begitu menarik dan 'mesra graduan' boleh menjadi panduan dan teman yang akrab. Ia telah ditulis dengan kemas dan padat.

KUNCI KEJAYAAN... IALAH KEUPAYAAN UNTUK MEMENUHI KEPERLUAN SPESIFIK SESUATU JAWATAN YANG ANDA POHON

Penulis-Mohammad Noorizzuddin Dato' Haji Nooh, Pensyarah USM

Undang-undang Gangguan Seksual Di Malaysia

Gangguan seksual bukan sahaja berlaku di tempat kerja, malah ia juga berlaku di tempat awam, di lapangan akademik dan di internet. Penulis juga memberi langkah-langkah mencegah gangguan seksual dan tindakan yang perlu dilakukan oleh mangsa.
  1. Buku ini ditulis bagi memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan kesalahan gangguan seksual. Beberapa kes gangguan seksual dibincangkan dan penyelesaiannya daripada perspektif undang-undang diberikan. Juga turut dibincangkan beberapa akta dan garis panduan berkenaan gangguan seksual.

Sesuai dibaca oleh pelajar, remaja, pekerja dan setiap warga negara Malaysia.

Penulis-Ahmad Shamsul Abd Aziz merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-undang, UUM

Proses Geologi Hasilkan Gunung Berapi

Letusan gunung berapi berlaku apabila proses geologi di dalam kerak bumi menghasilkan lelehan magma, lava serta batuan cair. Secara dasarnya, gunung berapi terdapat di seluruh dunia terutama di kawasan sepanjang Lingkaran Api Pasifik yang merupakan sempadan pertembungan di antara dua plat tektonik.

Pemahaman biasa mengenai kejadian gunung berapi adalah gunungnya berbentuk kon akan menghamburkan lava dan gas beracun dari kawah yang berada di puncak. Kitar hayat bagi gunung berapi yang aktif mungkin akan bertukar menjadi separuh aktif sebelum akhirnya menjadi tidak aktif atau mati.

Gunung berapi yang dikenali sebagai vulcano dalam bahasa Inggeris sebenarnya berasal daripada pulau gunung berapi Vulcano yang terletak di kepulauan Aeolian, Itali di mana nama itu diambil bersempena nama dewa api dalam mitos Roman iaitu Vullcan.

*Dipetik dari majalah estidotmy, edisi 88

Apakah Beza Cuaca dan Iklim?

Cuaca biasanya merujuk kepada tempatan dan jangka pendek. Jika hujan di Kuala Lumpur tempat kita tinggal, ini dikatakan cuaca. Iklim pula adalah jangka panjang dan tidak hanya terhad kepada satu lokasi sahaja.

Iklim sesuatu kawasan adalah purata keadaan sesuatu rantau dalam satu tempoh yang tertentu. Misalnya jika kawasan tempat anda tinggal mengalami hujan lebat, ini sebahagian iklim bagi rantau berkenaan. Amat penting apabila membicarakan mengenai iklim adalah jangka panjang malah ratusan tahun adalah singkat apabila memperkatakan mengenai iklim.

Perubahan iklim kadang-kala mengambil masa 10 ribu tahun dan hujan yang lebat dalam masa dua hingga tahun tidak menggambarkan perubahan iklim. Ini hanyalah anomali iaitu keadaan yang bukan berlaku dalam rangkaian statistik tetapi tidak mewakili keadaan kekal jangka masa panjang. Ia boleh mengambil masa beribu-ribu tahun untuk memanaskan atau menyejukkan hanya 1 darjah secara semulajadi. Bagi mendapatkan kitaran era ais, suhu Bumi boleh berubah kerana aktiviti gunung berapi, perbezaan dalam kitaran tumbuhan, perubahan dalam amaun radiasi matahari dan perubahan semulajadi dalam kimia atmosfera.

*Dipetik dari majalah estidotmy, edisi 88

Metodologi Dakwah

Usaha dakwah dalam sejarah dakwah lampau yang berjaya mempengaruhi dan mengubah sasarannya, terutamanya dakwah Nabi Muhammad (s.a.w) dan dakwah di Nusantara sangat mengkagumkan dan perlu diselidiki formulanya. Ekorannya, menimbulkan persoalan, bagaimanakah metode dakwah yang dilakukan oleh orang-orang dahulu dan bagaimanakah pula metode yang sesuai dilakukan terhadap sasaran dakwah masa kini?

Buku Metodologi Dakwah penulisan Prof. Dr. Ab. Aziz Bin Mohd. Zin dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ini membincangkan pelbagai isu dan persoalan yang berkait dengan metodologi dakwah. Setakat ini, tiada pendedahan yang dibuat dalam bidang metodologi dakwah, seperti mana yang dibincangkan dalam buku ini. Ia satu hasil penulisan akademik yang perlu ditatap oleh semua pihak terutamanya oleh pengkaji dakwah dan pendakwah. Segala perbincangan dan isu yang ditimbulkan sangat berguna untuk dijadikan panduan dalam dakwah hari ini, atau paling kurang untuk menimba maklumat dalam bidang ini.