Isnin, 29 Mac 2010

Kambing dan Kayu Api

Pada suatu hari, Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya berhenti berehat di padang pasir bagi menghilangkan penat selepas berjalan jauh. Mereka mendirikan khemah di situ. Kebetulan mereka membawa seekor kambing hidup sebagai bekalan makanan.


“Biarlah saya sembelih kambing itu,” kata seorang sahabat Nabi Muhammad.


“Dan biarlah saya melapahnya,” kata yang lain.


“Dan saya pula, biar saya pula yang mencari kayu api,” sambut Nabi Muhammad.


Sahabat-sahabat terkejut mendengar kata-kata Nabi Muhammad itu. Mereka semua tidak mahu membiarkan Nabi Muhammad bersusah payah membuat kerja. “Tak usah lah tuan. Biarlah kami sahaja yang menguruskan semuanya. Tuan berehat sahaja,” saran mereka kepada Nabi Muhammad.


Nabi Muhammad tetap dengan pendiriaannya. Beliau mahu ikut bekerja. “Saya takkan berpeluk tubuh sedangkan saudara semua bekerja. Tuhan membenci sesiapa yang mengistimewakan dirinya daripada yang lain,” jawab Nabi Muhammad dengan tegas. Beliau terus keluar dan balik memikul kayu api di bahunya.

Tiada ulasan: